Disemak pada bulan Ogos 2023

Matlamat Kita Yang Mulia

Kita menghubungkan manusia untuk bekerja dengan cara yang memperkaya hidup mereka.

Visi kita

Menjadi syarikat pembekal tenaga mahir yang paling kreatif, berwawasan dan tangkas, yang berkomitmen menyatukan tenaga mahir yang penting dengan organisasi yang hebat agar kita dapat sama-sama berkembang maju.

Hasrat Strategik Kita

Mendahului para pesaing kita dari segi pertumbuhan yang menguntungkan bersama tenaga mahir yang kita pilih untuk menyediakan khidmat yang khusus dalam pasaran yang kita pilih untuk berurus niaga.

Nilai-nilai Kita

Kita semua dan diri kita masing-masing dinilai berdasarkan pulangan kita kepada pemegang saham. Kita mahu berikan pulangan itu dengan nilai-nilai yang berikut:

  • Kita sendiri bertanggungjawab terhadap tindakan, hasil pencapaian, dan reputasi kita.
  • Kita bina hubungan yang kukuh dan kita lahirkan penyokong Kelly seumur hidup.
  • Kita tangani dan selesaikan isu-isu pelanggan dan calon dengan segera.
  • Kita layan setiap pelanggan, pekerja, dan pembekal dengan hormat dan berintegriti.
  • Kita sentiasa mencari peluang menghasilkan inovasi dan menambah baik pengalaman di Kelly.

Kelly Services, Inc. dan/atau mana-mana syarikat yang dikawal secara langsung ataupun tidak langsung oleh Kelly Services, Inc. (dirujuk semuanya sekali sebagai “Syarikat”) terikat oleh kewajipan bertindak dengan betul, bertingkah laku dengan cara yang dibenarkan oleh undang-undang, beretika dan beramanah, serta menunaikan kewajipan kita mengawal atur semuanya. Kita mematuhi dasar perniagaan dan undang-undang tempatan yang berkenaan mengikut maksudnya yang tersurat dan yang tersirat di negara-negara tempat kita beroperasi. Kita berbangga kerana kita berurus niaga dengan berintegriti dan kita menghormati nilai menjalankan perniagaan secara beretika. Lembaga Pengarah Syarikat telah menerima Tataniaga dan Tataetika yang berikut, yang merangkumi Lembaga Pengarah dan setiap pekerja Syarikat, tanpa mengira jawatan, negara, unit perniagaan atau anak syarikat.

Pematuhan Undang-undang, Kaedah dan Peraturan

Kita berusaha memastikan pembekal, ejen dan wakil kita semuanya sedar akan kewajipan mereka untuk mematuhi semua undang-undang, kaedah dan peraturan yang dikenakan terhadap Syarikat, termasuklah undang-undang yang berkait dengan pencegahan rasuah dan pencegahan sogokan, perdagangan, buruh dan pekerjaan, antipakat, perdagangan orang dalam, kesihatan, keselamatan dan alam sekitar, privasi dan perlindungan data, teknologi maklumat, dan semua dasar yang ditentukan oleh Syarikat. Pelanggaran yang tertentu boleh mengakibatkan denda dan/atau pendakwaan jenayah.

Kepatuhan kepada undang-undang, mengikut maksudnya yang tersurat dan tersirat, ialah asas yang mendasari piawaian etika kita. Anda mesti menghormati dan mematuhi undang-undang di bandar, negeri dan negara yang menjadi tempat operasi Syarikat. Walaupun anda tidak dikehendaki mengetahui butir-butir semua undang-undang yang dikenakan, namun penting anda ketahui secukupnya untuk menentukan masa yang sesuai untuk memohon nasihat penyelia anda, wakil Sumber Manusia, penasihat undang-undang atau jabatan lain yang bersesuaian.

Kegagalan mematuhi undang-undang, kaedah atau peraturan yang mengawal perniagaan Syarikat, Tataniaga dan Tataetika ini atau mana-mana dasar Syarikat ialah sebab untuk mengambil tindakan pembetulan, termasuklah tindakan memecat atau menamatkan penglibatan.

Mengapakah Kita Menggunakan Tatakelakuan dan Tataetika?

Tataniaga dan Tataetika ini bertujuan menolong kita mengenali dan menangani hal-hal etika, mengelakkan salah laku, menyediakan mekanisme untuk melaporkan kekhuatiran, menggalakkan kelakuan yang jujur dan beretika, mengemukakan maklumat yang lengkap dan adil dalam laporan dan bahan komunikasi Syarikat mengikut masa yang ditetapkan, mematuhi undang-undang, kaedah dan peraturan kerajaan yang dikenakan, dan memupuk budaya kejujuran dan tanggungjawab.

Tiada satu pun peraturan atau dasar yang dapat menduga setiap situasi yang mungkin timbul. Tataniaga dan Tataetika ini dimaksudkan sebagai panduan untuk membuat keputusan beretika yang tidak selalunya mudah. Dalam situasi yang kompleks, kita patut mengambil masa untuk mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada dengan teliti.

Siapakah Yang Perlu Mematuhi Tataniaga dan Tataetika Ini?

Semua pekerja, pegawai, pengarah dan ejen Syarikat serta mana-mana pihak ketiga lain yang bertindak bagi pihak Syarikat (dirujuk semuanya sekali sebagai “pekerja” dalam Tataniaga dan Tataetika ini) mesti bertingkah laku dengan cara yang dibenarkan oleh undang-undang dan beretika, dan hendaklah mematuhi Tataniaga dan Tataetika ini mengikut maksudnya yang tersurat dan yang tersirat.

Jika anda pengurus, anda memegang amanah dan tanggungjawab khas terhadap Syarikat. Para pengurus berpengaruh besar terhadap nilai dan budaya Kelly, dan mereka mesti mendorong orang lain agar bertindak secara berintegriti. Para pengurus dikehendaki:

  • menjiwai nilai-nilai Kelly;
  • memimpin melalui teladan;
  • menunjukkan komitmen yang teguh terhadap kepimpinan;
  • mewujudkan suasana pintu terbuka supaya pekerja berasa selesa apabila hendak bertanya dan mengemukakan laporan; dan
  • bertindak dengan segera jika anda mengesyaki berlakunya pelanggaran Tataniaga dan Tataetika kita, dasar-dasar lain atau undang-undang.

Mendapatkan Nasihat dan Melaporkan Kekhuatiran

Apabila anda ragu-ragu tentang jalan tindakan yang terbaik dalam situasi yang tertentu, anda harus bercakap dengan pengurus anda, pasukan kepimpinan, jabatan sumber manusia, kakitangan jabatan undang-undang dan pematuhan atau anggota lain yang bersesuaian. Kelly menghargai tindakan pekerja melaporkan kekhuatiran. Seboleh-bolehnya, anda harus bercakap dengan penyelia anda yang terdekat atau anggota kepimpinan tempatan dahulu. Jika tidak mungkin, anda boleh menghubungi mana-mana atau semua anggota yang berikut, mengikut apa-apa urutan pun:

  • ketua terdekat yang seterusnya;
  • anggota jabatan Sumber Manusia (Rakan Insan) bagi tempat anda;
  • Perhubungan Pekerja;
  • anggota jabatan Undang-undang bagi tempat anda;
  • Jabatan Penipuan atau Keselamatan Global;
  • Ketua Pegawai Insan;
  • Ketua Peguam;
  • Eksekutif Audit Dalaman; atau
  • Pengerusi Jawatankuasa Audit.

Kita dikehendaki melaporkan pelanggaran yang diketahui berlaku atau yang disyaki berlaku terhadap undang-undang, kaedah dan peraturan yang dikenakan terhadap Syarikat, terhadap Tataniaga dan Tataetika ini atau terhadap mana-mana dasar Syarikat kepada kakitangan Kelly yang dinyatakan di atas ini ataupun kepada Program Pelaporan Pengendalian dan Etika Perniagaan Kelly Services yang boleh dihubungi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Talian bantuan: 877.978.0049 (kod setiap negara dan arahan menelefon boleh didapati pada penghujung Tataniaga dan Tataetika ini). Anda juga boleh melaporkan kekhuatiran anda secara dalam talian di: Kellyservices.ethicspoint.com.

Tertakluk kepada undang-undang yang dikenakan, laporan tanpa nama boleh dibuat melalui Program Pelaporan Pengendalian dan Etika Perniagaan Kelly.

Laporan tentang pelanggaran dasar atau undang-undang yang disyaki akan disiasat dan didokumenkan menurut prosedur penyiasatan Kelly. Anda dikehendaki memberikan kerjasama sepenuhnya kepada usaha penyiasatan. Walau bagaimanapun, anda tidak sepatutnya menjalankan penyiasatan sendiri tentang sesuatu hal.

Jika anda memohon nasihat, membangkitkan kekhuatiran atau melaporkan salah laku, anda bertindak dengan betul. Kelly terikat oleh kewajipan membuka peluang untuk pekerja yang ingin melahirkan kekhuatiran mereka tentang isu-isu pematuhan dan etika, serta melaporkan salah laku tanpa rasa takut dikenakan tindakan balasan. Syarikat tidak akan membiarkan sahaja perbuatan membalas dendam, mengganggu atau mengambil apa-apa jenis tindakan terhadap pekerja yang bersuci hati membangkitkan kekhuatiran, melaporkan pelanggaran atau menyertai penyiasatan.

Mana-mana pekerja yang mengambil tindakan balasan akan dikenakan tindakan tatatertib, termasuklah dipecat. Jika anda mengesyaki bahawa anda atau orang lain menjadi mangsa tindakan balasan kerana membangkitkan sebarang hal yang berkaitan dengan undang-undang atau pengendalian perniagaan, gunakan saluran pelaporan yang dinyatakan dalam bahagian ini dengan segera.

Konflik Kepentingan

Kita memikul kewajipan bertindak semata-mata demi kepentingan Kelly dan memberi Syarikat kesetiaan kita masing-masing. Kita elakkan konflik kepentingan dan tidak menggunakan kedudukan kita atau aset syarikat demi kepentingan diri. “Konflik kepentingan” berlaku apabila kepentingan diri seseorang mengganggu, atau kelihatan seolah-olah mengganggu, kepentingan Syarikat dengan apa-apa cara pun. Kita masing-masing mesti bertindak secara berintegriti dan mengelakkan sebarang hubungan atau aktiviti yang mungkin akan menjejaskan kebolehan kita membuat keputusan yang objektif dan adil sewaktu melaksanakan tanggungjawab pekerjaan kita. Cara kita bertingkah laku di tempat kerja ada kesannya terhadap reputasi kita dan kepercayaan yang kita pelihara dengan pelanggan, pekerja, calon, pemohon, peniaga dan pembekal. Kita juga harus berhati-hati supaya tidak membayangkan keadaan konflik, kerana bayangan seperti itu mungkin akan melunturkan keyakinan atau memburukkan reputasi Syarikat walaupun sebenarnya tiada konflik mahupun salah laku. Tatakelakuan ini tidak dapat menerangkan semua konflik kepentingan yang boleh berlaku tetapi beberapa contoh konflik yang lazim timbul diberikan dalam bahagian ini.

  • Hubungan Peribadi – Kecuali diberi kuasa oleh Ketua Pegawai Insan, anda tidak dibenarkan mempunyai hubungan pelaporan yang langsung ataupun tidak langsung mahupun membuat keputusan pekerjaan tentang ahli keluarga (pasangan hidup, suami, isteri, ibu, bapa, anak, adik-beradik [sama ada kandung, tiri atau angkat] atau sesiapa pun yang tinggal serumah dengan anda) atau memberikan manfaat peribadi lain yang tidak berpatutan kepada ahli keluarga disebabkan kedudukan anda di Syarikat kita.
  • Aktiviti Perniagaan Luar – Kita dikehendaki menumpukan perhatian kita sepenuhnya terhadap kerja kita semasa waktu kerja biasa dan sepanjang masa kerja tambahan yang mungkin diperlukan, selaras dengan undang-undang yang dikenakan. Pekerjaan luar dan aktiviti perniagaan yang lain boleh menimbulkan konflik kepentingan atau mengurangkan produktiviti. Hal begini perlu diberitahu kepada pengurus anda terlebih dahulu. Pekerjaan serentak (termasuklah khidmat rundingan) dengan syarikat yang menjadi pesaing, rakan niaga, pelanggan, penjual atau pembekal Syarikat kita dilarang.
  • Manfaat Peribadi – Perbuatan menghulurkan, memberikan atau mengambil hadiah atau pinjaman kepada atau daripada sesiapa sahaja yang berurusan dengan Syarikat kita dengan niat mempengaruhi hubungan dengan Syarikat atau tindakan yang berkenaan dengan Syarikat.

Konflik kepentingan tidak selalunya jelas. Situasi yang melibatkan atau yang secara munasabahnya dijangka akan melibatkan konflik kepentingan hendaklah didedahkan dengan segera kepada pengurus anda, rakan sumber manusia anda, jabatan Audit Dalaman atau jabatan Undang-undang untuk dikaji. Konflik kepentingan tidak semestinya bererti Tataniaga dan Tataetika kita dilanggar.

Pengarah dan pegawai eksekutif mesti mendapatkan kepastian dan juga kebenaran atau kelulusan Jawatankuasa Audit tentang konflik kepentingan yang mungkin ada.

Pencegahan Sogokan dan Pencegahan Rasuah

Kita berbangga kerana kita menjalankan perniagaan secara berintegriti dan kita mematuhi semua undang-undang pencegahan sogokan dan pencegahan rasuah yang dikenakan di negara-negara kita beroperasi.

Anda dilarang memberikan, menjanjikan, menghulurkan atau meluluskan hadiah, kredit, bayaran, perkhidmatan, keraian atau apa-apa sahaja yang bernilai, kepada mana-mana pembekal, penjual, pelanggan, pekerja kerajaan atau orang lain, mahupun mengambilnya, dengan tujuan mempengaruhi sesuatu keputusan, mendapatkan kelebihan, mengelakkan keadaan yang merugikan, ataupun memperoleh atau mengekalkan urus niaga, dengan cara yang tidak berpatutan. Barang-barang yang bernilai merangkumi tetapi tidak terbatas kepada:

  • sumbangan derma;
  • wang tunai;
  • belanja perjalanan;
  • hadiah; dan/atau
  • tawaran keraian.

Pekerja hendaklah merujuk panduan tambahan dan bahan latihan yang diterima untuk mendapatkan maklumat selanjutnya, termasuklah dasar-dasar syarikat mengenai pencegahan sogokan dan pencegahan rasuah.

Pelanggaran undang-undang pencegahan sogokan dan pencegahan rasuah boleh membawa akibat yang serius terhadap Syarikat kita dan juga terhadap orang yang terlibat. Pelanggaran sedemikian boleh mengakibatkan denda yang besar, ganti rugi sivil dan hukuman jenayah. Di berbilang bidang kuasa, pelanggaran undang-undang pencegahan sogokan dan pencegahan rasuah juga boleh mengakibatkan hukuman penjara yang panjang. Kita masing-masing dikehendaki menjalani latihan pencegahan sogokan dan pencegahan rasuah yang disediakan oleh Syarikat, dan kita dikehendaki memperakui kepatuhan kepada prinsip-prinsip yang digariskan dalam latihan tersebut, dasar-dasar dan Tataniaga dan Tataetika ini setiap tahun. Jika mana-mana pihak ketiga didapati terlibat melakukan aktiviti rasuah apabila bekerja bagi pihak Syarikat, kami akan mengambil tindakan yang pantas dan setimpal, selaras dengan Dasar Pencegahan Sogokan dan Pencegahan Rasuah kita.

Pelanggaran yang disyaki hendaklah dilaporkan dengan segera kepada Talian Bantuan kita, iaitu 877-978-0049 (kod setiap negara dan arahan menelefon boleh didapati pada penghujung Tataniaga dan Tataetika ini) atau secara dalam talian di Kellyservices.ethicspoint.com. Kekhuatiran lain boleh dikemukakan secara pos ke Kelly Services, Inc., Attn: General Counsel, 999 W. Big Beaver Road, Troy, MI 48084 U.S.A.

Kepatuhan Undang-undang Perdagangan

Kita bertanggungjawab mematuhi undang-undang dan peraturan perdagangan sekitar dunia, yang mewajibkan kita mendapatkan kepastian semasa menjalankan perniagaan antarabangsa, bahawa transaksi yang berkenaan tidak melibatkan orang, entiti, kawasan atau negara yang terbatas atau terlarang. Selaku syarikat sejagat, kawalan eksport, larangan dan dasar asing yang lain mengawal tempat kita dibenarkan berurus niaga dan pihak yang boleh berurus niaga dengan kita. Kegagalan mematuhi sekatan ini boleh menjejaskan perniagaan kita dengan serius lalu mengakibatkan kerosakan reputasi serta denda dan hukuman yang berat. Jika anda mendapat tahu tentang keadaan yang mungkin telah melanggar undang-undang dan peraturan perdagangan yang dikenakan atau jika anda khuatir mengenai transaksi di negara yang tertentu atau mengenai seseorang atau sesebuah organisasi khususnya, anda harus mendapatkan nasihat jabatan Undang-undang.

Perdagangan Orang Dalam

Pekerja yang mengetahui maklumat penting yang tidak ketahui umum mengenai Syarikat kita, pelanggan, pesaing, pembekal atau pihak ketiga yang lain (“maklumat dalam”) dilarang menggunakan mahupun memberikan maklumat itu kepada orang lain untuk tujuan perdagangan sekuriti (“perdagangan orang dalam”) atau untuk apa-apa tujuan selain menjalankan urusan Syarikat sehinggalah maklumat dalam itu diumumkan kepada orang ramai. Perdagangan orang dalam merangkumi perbuatan memberikan maklumat sedemikian kepada orang lain untuk membantu mereka membeli atau menjual sekuriti sesebuah syarikat berdasarkan maklumat itu (“memberikan tip”).

Maklumat dalam merangkumi tetapi tidak terbatas kepada penggabungan, pemerolehan atau pemberhentian pelaburan yang dijangka akan berlaku, hasil pencapaian dan ramalan kewangan, produk atau perkhidmatan baharu, perubahan dalam kalangan lembaga pengarah, pertukaran pegawai kanan, kemenangan atau kehilangan kontrak besar dan maklumat kewangan dalaman.

Dasar Perdagangan Orang Dalam Kelly mengandungi prosedur yang mesti diikuti oleh semua pekerja.

Berurusan Secara Adil

Kita semua bertanggungjawab menjalankan urusan secara adil antara satu sama lain dan dengan pelanggan, pemohon, calon, penjual dan pembekal kita. Di Kelly, kita berurusan dengan yakin dan memperoleh kejayaan melalui pekerja kita. Janganlah anda menganiayai orang lain melalui manipulasi, penyembunyian, salah guna maklumat sulit, salah nyata fakta penting atau amalan berurusan lain yang tidak adil.

Kita dikehendaki mematuhi undang-undang antipakat dan undang-undang persaingan yang dikenakan. Sebarang usaha mengatur perjalanan pasaran antara Syarikat kita dengan pesaing boleh melanggar undang-undang persaingan walaupun tindakan itu didasarkan pada perjanjian yang tidak formal. Semasa berinteraksi dengan pesaing, kita dilarang melakukan mana-mana aktiviti yang berikut:

  • bersetuju membahagi-bahagikan kawasan atau pelanggan;
  • membincangkan peletakan harga, diskaun atau syarat-syarat penjualan yang kita tawarkan; atau
  • bersetuju memboikot pelanggan atau pembekal yang tertentu.

Pengurusan Kontrak

Apabila kita membuat komitmen bagi pihak Syarikat, kita mungkin mewujudkan suatu kewajipan bagi Syarikat kita dari segi undang-undang. Kita mesti memastikan kita memohon dahulu kajian dan mendapat kelulusan bagi komitmen itu dan mengikuti dasar Kuasa Tandatangan Syarikat kita. Jika anda ingin bertanya tentang cara memohon kajian dan mendapatkan kelulusan yang sepatutnya, sila hubungi jabatan Undang-undang Syarikat kita.

Peluang Korporat

Kita masing-masing memikul tanggungjawab kepada Syarikat untuk mendahulukan kepentingannya yang sah. Janganlah kita:

  • mengambil untuk diri sendiri atau orang lain, peluang yang ditemui ketika menggunakan harta benda atau maklumat milik Syarikat atau melalui jawatan kita di sini; atau
  • menggunakan pekerja, harta benda atau maklumat Syarikat, mahupun jawatan kita di sini, demi keuntungan diri sendiri, termasuklah manfaat keluarga atau kawan-kawan.

Sumbangan Politik

Pekerja boleh membuat sumbangan politik atau melakukan aktiviti politik, jika sumbangan atau aktiviti tersebut dibenarkan oleh undang-undang, tidak mengganggu tanggungjawab kerja mahupun membayangkan berlakunya konflik kepentingan. Kita tidak dibenarkan membuat sumbangan politik secara langsung ataupun tidak langsung atas nama Syarikat ataupun dengan menggunakan wang, harta benda, aset atau peralatan Syarikat. Selain itu, anda tidak boleh menghendaki mahupun meminta pembekal atau peniaga Syarikat membuat apa jua jenis sumbangan politik sebagai syarat berurus niaga dengan Syarikat kita. Dasar Pencegahan Sogokan dan Pencegahan Rasuah memberikan arahan tambahan tentang aktiviti melobi dan peraturan yang mengawal sumbangan politik.

Kemampanan Korporat

Kemampanan ialah salah satu prinsip panduan operasi global kita, yang mendorong hubungan Syarikat dengan tenaga kerja, pembekal dan pelanggan kita seluruh dunia.

Kelly menjiwai nilai kemampanan korporat dan mengamalkan taraf kewargaan korporat yang tertinggi. Budaya dan nilai kita bertunjangkan perkhidmatan, integriti, dan tanggungjawab terhadap tindakan, hasil tindakan, dan reputasi kita. Kita masing-masing dan sama-sama bertanggungjawab mendukung komitmen kemampanan korporat kita.

Kita galakkan penyertaan pekerja seluruh organisasi, dan kita akan berganding bahu dengan pihak-pihak yang berkepentingan untuk terus membela nasib tenaga kerja sejagat, menambah baik tempat kerja kita, menyumbang kepada komuniti yang menerima khidmat kita, dan memastikan kita bertindak secara bertanggungjawab dari segi sosial, etika, dan persekitaran.

Kerahsiaan, Privasi dan Maklumat Berempunya

Kewajipan kita melindungi keutuhan, ketersediaan dan kerahsiaan maklumat dan sistem maklumat milik Kelly merangkumi juga maklumat yang telah diamanahkan kepada Kelly oleh pelanggan, pekerja, calon, pemohon, peniaga dan pembekal kita. Kita dikehendaki melindungi data dan sistem supaya tidak digunakan tanpa izin, didedahkan, diubah, musnah atau hilang, dengan cara mematuhi Pernyataan Privasi Kelly, yang boleh didapati di https://www.kellyservices.com/global/privacy-statement/, dan Dasar Keselamatan Maklumat kita.

Maklumat sulit dan persendirian merangkumi data peribadi dan juga maklumat berempunya tentang Syarikat kita yang belum lagi diumumkan kepada orang ramai. Antara data peribadi yang dianggap sulit ialah nombor pengenalan yang sah di sini undang-undang, maklumat perbankan dan kewangan serta maklumat tentang kesihatan atau keluarga. Dalam beberapa bidang kuasa, kategori tambahan data mungkin dianggap sebagai data peribadi yang sulit menurut undang-undang atau peraturan yang dikenakan. Antara maklumat berempunya tentang Syarikat kita yang dianggap sulit ialah rancangan perniagaan, maklumat tentang peletakan harga atau kos, kontrak atau senarai pelanggan, bahan-bahan yang mendedahkan matlamat atau projek operasi, bahan-bahan berhak cipta, penyelidikan atau strategi, maklumat kewangan dalaman, pengetahuan teknikal, serta maklumat dan harta intelektual lain milik Syarikat yang tidak diketahui umum. Jika terdapat keraguan sama ada maklumat sulit patut didedahkan, pekerja hendaklah mendapatkan nasihat daripada pengurus masing-masing ataupun daripada wakil jabatan Undang-undang.

Perlindungan Aset Syarikat dan Cara Betul Menggunakannya

Para pekerja bertanggungjawab melindungi aset Syarikat dan memastikan kita menggunakannya dengan cara yang paling cekap dan bertahan. Kita dilarang menggunakan aset Syarikat, termasuklah bangunan, peralatan, harta benda, teknologi, maklumat, harta intelektual dan jenama Kelly demi manfaat peribadi. Semua pekerja memikul kewajipan melindungi aset-aset ini supaya tidak dicuri, hilang, terbazir atau rosak. Maklumat berempunya, maklumat peribadi dan maklumat sulit yang lain mesti disimpan, diproses dan digunakan dengan menggunakan perkhidmatan dan alat yang diluluskan oleh Syarikat untuk tujuan perniagaan yang rasmi sahaja. Peralatan seperti komputer dan perantara elektronik yang lain tidak boleh digunakan untuk tujuan yang menyalahi undang-undang ataupun untuk mendapatkan atau mengedarkan bahan lucah atau haram atau bahan-bahan lain yang mungkin akan menimbulkan suasana yang dingin untuk orang lain. Alat milik Syarikat atau alat-alat lain yang terhubung dari jauh dengan rangkaian Syarikat mesti mematuhi langkah-langkah keselamatan maklumat Syarikat dan tertakluk kepada pemantauan yang dibenarkan oleh undang-undang dan peraturan yang dikenakan. 

Pertanyaan Media dan Komunikasi Luar

Syarikat mendedahkan maklumat dengan lengkap, adil dan tepat dalam komunikasinya kepada orang ramai. Pekerja tidak dibenarkan bertindak bagi pihak Syarikat untuk menjawab soalan oleh pihak media, penganalisis, pelabur atau mana-mana pihak awam yang lain kecuali diberi kuasa berbuat demikian secara khususnya. Jika anda menerima pertanyaan sedemikian, anda mesti mencatatkan nama orang yang bertanya itu dan serta-merta merujukkan pertanyaan itu kepada bahagian Perhubungan Pelabur.

Kita sendiri bertanggungjawab terhadap komen yang kita siarkan pada rangkaian media sosial (contohnya, Facebook, LinkedIn, Twitter, TikTok, YouTube, blog atau forum). Mengenalkan diri melalui rangkaian ini sebagai pekerja Kelly sebenarnya mengaitkan kita dengan Syarikat ini, rakan-rakan sekerja kita dan pelanggan kita. Oleh itu, beringatlah bahawa bahan yang kita siarkan boleh dibaca oleh orang awam, akan mencerminkan reputasi dan kepentingan perniagaan Syarikat kita, hendaklah membayangkan pertimbangan yang baik dan mesti dibenarkan oleh undang-undang. Jika anda berkomunikasi tentang Kelly dengan pihak luar menggunakan media sosial dalam talian, anda dikehendaki mematuhi garis panduan Dasar Media Sosial Kelly.

Menyediakan Laporan Kewangan dan Menyimpan Rekod

Penyata kewangan, akaun dan rekod Syarikat mesti mencerminkan semua transaksi korporat dengan tepat dan mesti memenuhi semua keperluan undang-undang dan perakaunan, serta sistem kawalan dalaman kita. Semua rekod sedemikian mesti diselenggarakan mengikut masa yang ditetapkan serta mencerminkan aset, liabiliti, hasil pendapatan dan belanja Syarikat secara adil dan tepat dengan seberapa terperinci yang munasabah. Semua pekerja, dan bukan hanya kakitangan perakaunan dan kewangan Syarikat, bertanggungjawab memastikan rekod perakaunan Syarikat kita tidak mengandungi pernyataan yang palsu atau mengelirukan. Kita mesti mematuhi sistem kawalan dalaman perakaunan Syarikat kita, merekodkan data dengan tepat dan mengikut masa yang ditetapkan (termasuklah data yang digunakan untuk menentukan imbuhan seperti bilangan jam bekerja dan tempoh kerja lebih masa serta data yang digunakan untuk pembayaran ganti belanja) dan menyelenggarakan dokumen menurut dasar penyimpanan rekod Syarikat. Kita masing-masing bertanggungjawab melaporkan kemasukan data yang kita ketahui kurang tepat, tidak lengkap atau yang bertujuan menipu. Anda mesti menunaikan permintaan oleh juruaudit dalaman dan juruaudit luar kita, dan memberi mereka maklumat yang paling tepat, mengikut masa yang ditetapkan.

Tingkah Laku di Tempat Kerja

Kelly terikat oleh kewajipan memelihara suasana kerja yang menggalakkan maruah diri dan sikap saling hormat. Tempat kerja yang bersuasana hormat memerlukan kerjasama dan sokongan setiap pekerja. Anda mesti mematuhi semua undang-undang dan peraturan buruh dan hak asasi manusia. Kita dikehendaki mengelakkan tingkah laku yang sewajarnya akan menyinggung, menakutkan, mengganggu atau mengaibkan orang lain. Kelakuan yang tidak berpatutan di tempat kerja, semasa melakukan perjalanan rasmi dan apabila menghadiri acara tajaan Syarikat yang diadakan selepas waktu kerja, akan mengakibatkan pekerja yang berkenaan dikenakan tindakan tatatertib, termasuklah dipecat.

Kemajmukan dan Keterangkuman Global

Kami ingin memupuk suasana kerja yang majmuk dan merangkum. Kami percaya bahawa kepelbagaian pendapat dan idea akan mengukuhkan organisasi kita untuk merangsang penyelesaian yang inovatif lagi kreatif yang kita sampaikan kepada para pelanggan. Dasar-dasar kita mencerminkan komitmen Kelly untuk melindungi hak pekerjaan pemohon dan pekerja yang menepati syarat, tanpa mengira bangsa, warna kulit, umur, taraf perkahwinan, taraf veteran atau ketenteraan, agama, negara asal, maklumat genetik, haluan seksual, jantina, identiti/penampilan jantina, ketidakupayaan, kehamilan (yang merangkumi tetapi tidak terbatas kepada kelahiran anak, penyusuan anak, atau penyakit yang berkait dengan penyusuan anak, kehamilan, dan kelahiran anak), dan/atau kategori-kategori lain yang terlindung oleh undang-undang yang berkuat kuasa. Kelly menyediakan peluang yang saksama berdasarkan kemahiran dan kebolehan sebagai usaha mewujudkan tenaga kerja yang mencerminkan kemajmukan komuniti di tempat kita beroperasi. Syarikat tidak akan membiarkan sahaja apa-apa bentuk diskriminasi atau gangguan.

Kesihatan dan Keselamatan serta Keganasan di Tempat Kerja

Kami ingin memastikan tempat kerja dan keadaan kerja kita selamat, terjaga dan menggalakkan kesihatan dan kesejahteraan semua pekerja kita. Kita mengamalkan dasar sifar toleransi berhubung dengan keganasan di tempat kerja. Pekerja memikul kewajipan melaporkan dengan segera kejadian keganasan, ugutan, membuli atau menakut-nakutkan. Jika anda bimbang tentang keselamatan diri anda atau orang lain, hubungi pihak berkuasa tempatan sebelum melaporkan situasi tersebut secara dalaman.

Komitmen kita terhadap usaha memelihara keselamatan tempat kerja memerlukan kerjasama semua orang untuk mengekalkan piawaian keselamatan yang setinggi-tingginya. Kita bertanggungjawab memberikan perhatian yang rapi terhadap sekitaran kita dan mengikuti semua peraturan dan prosedur keselamatan serta melaporkan keadaan yang tidak selamat ataupun kecederaan atau penyakit yang berkait dengan kerja.

Pencegahan Pemerdagangan Manusia dan Pengabdian

Syarikat kita mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap semua bentuk pemerdagangan manusia dan aktiviti-aktiviti yang berkait dengannya. Pernyataan dasar Kelly tentang Pemerdagangan Manusia dan Pengabdian boleh didapati pada laman web Syarikat, iaitu https://www.kellyservices.com/global/sectionless-pages/human-trafficking-policy/.

Pekerja yang Meninggalkan Kelly

Kita memikul pelbagai kewajipan apabila kita meninggalkan Syarikat ini. Kewajipan ini mungkin timbul melalui perjanjian pekerjaan, rancangan insentif yang anda sertai atau perjanjian lain. Anda harus membaca perjanjian dan rancangan ini dengan teliti sebelum anda meninggalkan Syarikat supaya anda memahami dan akan menjaga kerahsiaan, larangan “mencuri” pelanggan Syarikat, pemulangan aset dan kewajipan kita yang lain terhadap Syarikat ini.

Selain itu, Tataniaga dan Tataetika kita mewajibkan agar setiap pekerja yang meninggalkan Syarikat ini:

  • memberikan notis tentang pemergiannya jika bersesuaian dengan jawatannya dan tanggungjawabnya;
  • memulangkan semua aset Kelly yang ada padanya atau yang dikawalnya;
  • menunaikan semua kewajipan tentang kerahsiaan yang dinyatakan dalam perjanjian pekerjaan anda, jika berkenaan, serta Tataniaga dan Tataetika ini;
  • menyokong peralihan tanggungjawabnya kepada pekerja lain; dan
  • menunaikan semua kewajipan kewangan kepada Kelly, misalnya mengemukakan laporan belanja yang belum diserahkan.

Dasar, Pernyataan dan Latihan Global

Kelly mengamalkan dasar-dasar khusus yang meliputi pelbagai bidang tingkah laku dan pentadbiran. Yang berikut ialah dasar, pernyataan dan latihan global yang harus difahami dan diikuti oleh semua pekerja. Di bawah ini ialah pautan ke dasar-dasar tersebut yang boleh didapati pada laman web awam kita:

  • Dasar Pencegahan Sogokan dan Pencegahan Rasuah
  • Dasar Antipakat dan Persaingan
  • Tataniaga dan Tataetika
  • Pernyataan Falsafah Saraan
  • Dasar Pendedahan dan Komunikasi Korporat
  • Pernyataan Dasar Kemampanan Korporat
  • Latihan GDPR
  • Latihan Kemajmukan Global
  • Dasar Kesihatan dan Keselamatan
  • Dasar Hak Asasi Manusia
  • Pernyataan Dasar MengenaiPemerdagangan Manusia dan Pengabdian
  • Borang Makluman Kejadian Buruk
  • Dasar Pengawalan Keselamatan Maklumat
  • Dasar Perdagangan Orang Dalam
  • Pernyataan Privasi
  • Pernyataan Jumlah dan Toleransi Terhadap Risiko
  • Dasar Media Sosial
  • Dasar Perjalanan, Belanja dan Keraian
  • Dasar Larangan Keganasan di Tempat Kerja

Disemak dan diterima oleh Lembaga Pengarah pada 9 Ogos 2023.

Arahan Menelefon

Sungguhpun terdapat alat pelaporan dalam talian seperti yang disebutkan di atas ini, namun jika anda ingin menggunakan telefon, anda boleh mengikuti proses di bawah ini.

  1. Buat panggilan anda daripada talian tetap yang membenarkan panggilan antarabangsa (dan bukannya telefon bimbit).
  2. Dengan menggunakan carta di bawah ini, dapatkan Kod Masuk Antarabangsa bagi negara pemanggil.
  3. Masukkan Kod Masuk Antarabangsa yang diberikan itu.
  4. Apabila digesa, masukkan nombor Talian Bantuan (877-978-0049).
  5. Setelah disambungkan dengan Talian Bantuan, ikuti arahan yang diberikan untuk bercakap dengan seorang wakil.

Kelly Services, Inc.

PAESE

CODICE DI ACCESSO DIRETTO

NUMERO DELLA LINEA DI ASSISTENZA

Australia (Optus) 

1-800-551-155 

877-978-0049

Australia (Telstra) 

1-800-881-011

877-978-0049

Austria / Österreich

0800-200-288 

877-978-0049

Belgium / België

0-800-100-10 

877-978-0049

Brazil / Brasil

0800 890 0288 or 0800-8888-288 

877-978-0049

China / 中国

108-888 (Beijing) or 108-11 (rest of China)

877-978-0049

Canada

N/A

877-978-0049

Denmark / Danmark

8001-0010 

877-978-0049

France

0800-99-0011 or 0805-701-288 

877-978-0049

Germany / Deutschland

0-800-2255-288 

877-978-0049

Hong Kong / 香港

800-96-1111 (HK Telephone) or 800-93-2266 (New World Telephone)

877-978-0049

Hungary / Magyarország

06 800-01111 

877-978-0049

India / भारत

000-117 

877-978-0049

Indonesia / Republik Indonesia

001-801-10 

877-978-0049

Italy / Italia

800-172-444 

877-978-0049

Japan / 日本/ Nihon

00 539-111 (KDDI); 0034-811-001 (NTT); 00-663-5111 (Softbank)

877-978-0049

Luxembourg

800 2 0111 

877-978-0049

Malaysia / مليسيا

1-800-80-0011 

877-978-0049

Mexico / México

01-800-288-2872 

877-978-0049

Netherlands (Holland) / Nederland

0800-022-9111 

877-978-0049

New Zealand 

000-911 

877-978-0049

Norway / Norge

800-190-11 

877-978-0049

Poland / Polska

0-0-800-111-1111 

877-978-0049

Portugal

800-800-128 

877-978-0049

Puerto Rico

N/A

877-978-0049

Russia / Россия

363-2400 (Moscow); 8^495-363-2400 (outside Moscow); 363-2400 (St. Petersburg); 8^812-363-2400 (outside St. Petersburg)

877-978-0049

Singapore / 新加坡 / Singapuraf

800-0111-111 (Sing Tel) or 80-0001-0001 (StarHub)

877-978-0049

Spain / España

900-99-00-11 

877-978-0049

Sweden / Sverige

020-799-111 

877-978-0049

Switzerland / Suisse

0-800-890011 

877-978-0049

Thailand / ประเทศไทย

1-800-0001-33 or 001-999-111-11 

877-978-0049

United States

N/A

877-978-0049